Aur, Takrif dan Puisi

Aur, bermaksud buluh atau bambu menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat.

image

Aur bermaksud buluh atau bambu

Perkataan “Aur” banyak digunakan didalam peribahasa serta pantun-pantun melayu lama.

 

Beberapa buah pantun yang indah:-

Aur lentik dijinak kijang,
Anak Jawa minum di mangkuk;
Keningnya lentik dadanya bidang,
Anak muda dipanah mabuk.

Kusangka aur di tanah seberang,
Rupanya tebu tumbuh di busut;
Disangka jujur hati orang,
Rupanya muslihat mencapai maksud.

Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat berikat akar;
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar jangan bertukar.

Pasang api menambah pukat,
Aur perindu tidak berdahan;
Buah hati mari dekat,
Hatiku rindu tidak tertahan.

Singapura dilanggar todak,
Orang berkubu batang pisang;
Orang tua melawan budak,
Ibarat aur ditarik songsang.

 

Peribahasa melayu yang berseni:-

Aur ditanam betung tumbuh.
Takrif: Mendapat laba banyak dengan modal yang sedikit.

Bagai aur bergantung ke tebing, bagai tebing bergantung ke aur.
Takrif: Satu sama lain bertolong-tolongan.

Sebagai aur dengan tebing.
Takrif: Suami isteri yang sangat berkasih-kasihan; persahabatan yang sangat karib. (Peribahasa lain yang sama makna: Sepantun kasau dengan bubungan).

Bagai aur di atas bukit.
Takrif: Menyerahkan diri kepada nasib.

Seperti aur ditarik songsang.
Takrif: Pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah salah jalan.

Betung ditanam aur tumbuh.
Takrif: Mengharap untung, kiranya mendapat rugi.

Memagar diri bagai aur.
Takrif: Hanya memikirkan diri sendiri saja.

Hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing.
Takrif: Suami isteri yang berkasih-kasih; sahabat yang setia dan bertolong-tolongan.

Kasihkan pinang sebatang daripada aur serumpun.
Takrif: Lebih sayang kepada orang lain daripada kaum keluarga sendiri.

Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur.
Takrif: Masa kecillah diajar dan dididik, jangan ditunggu sampai sudah besar. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari). (Lihat juga: Melentur biarlah waktu rebung).

 

Betapa kayanya bahasa Melayu dengan pelbagai puisi, menggambarkan ketinggian peradaban tamadun alam Melayu, sehingga menjadi igauan indah serta rebutan penjajah Eropah.

 

Sumber: Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *