Pulau Aur di YouTube

Saksikan video Pulau Aur oleh Sebukang Bay Resort di YouTube.

Selamat menonton!

Posted in Uncategorized | Leave a comment

4 Manfaat Snorkeling Semasa Percutian

Apabila anda pergi bercuti dan membuat senarai tempat lawatan, snorkeling adalah antara aktiviti yang perlu dimasukkan ke dalam senarai ketika berada di pulau atau pantai. Selain bergembira melupakan seketika rutin harian, anda dapat menikmati faedah kesihatan daripada aktiviti ini. Badan dapat bersenam dengan cara yang menyeronokkan melalui snorkeling. Berikut adalah manfaat yang boleh diperolehi daripada aktiviti ini.

  1. Snorkeling menguatkan otot

Sama ada memakai fins (“sirip kaki”) atau tidak memakainya, seluruh badan anda akan bekerja semasa bersnorkeling. Ketika berenang di permukaan air, kaki dan tangan perlu digerakkan, memaksa otot menolak rintangan semula jadi air. Pemakaian fins pula membantu memberi gerakan kaki yang lebih berkesan. Berenang di bawah permukaan air juga memberi lebih tekanan pada otot untuk menolak ketumpatan dan apungan semulajadi air. Hasilnya, aktiviti ini membakar banyak kalori dan membantu membina otot dalam tubuh anda.

  1. Baik untuk jantung

Snorkeling menggalakkan kecergasan kardiovaskular dengan peningkatan kadar degupan jantung. Ia membuatkan jantung lebih kuat dan mengurangkan risiko masalah jantung seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung koronari. Kebaikan tambahan adalah pada keperluan menahan nafas lebih lama di dalam air yang membina kapasiti paru-paru.

  1. Meningkatkan kelicinan sendi

Kesakitan pada sendi boleh dilegakan melalui snorkeling. Mereka yang melakukan gerakan di dalam air dapat merasakan impak gerakan pada sendi amat kurang berbanding aktiviti senaman lain, contohnya seperti berjalan dan berlari. Snorkeling boleh menjadi aktiviti permulaan yang baik untuk program senaman lain, kerana ia meningkatkan kelicinan gerakan sendi. Adalah lebih mudah untuk melakukan senaman lain yang lebih keras dan kerap selepas bersnorkeling.

  1. Meningkatkan kesihatan mental

Snorkeling juga mengurangkan tekanan perasaan dan gelisah. Ia membantu melepaskan endorfin, membuatkan anda berasa lebih tenang serta meningkatkan keyakinan diri. Kawalan pernafasan yang baik semasa bersnorkeling melegakan badan dan minda, memberi kesan yang sama seperti kaedah meditasi pernafasan. Anda akan berasa lebih selesa dan tenang selepas melakukan aktiviti ini secara santai.

Menikmati pemandangan dalam laut Pulau Aur

Menikmati pemandangan dalam laut Pulau Aur

Jika anda sedang mencari-cari percutian santai dan menenangkan, pastikan aktiviti snorkeling dimasukkan ke dalam senarai yang wajar anda lakukan. Terdapat banyak destinasi percutian di Malaysia yang menawarkan aktiviti menarik ini, yang juga membantu anda menikmati pemandangan indah di dalam air. Membawa kamera kalis air adalah bonus, untuk anda menyimpan kenangan semasa bersnorkeling serta pemandangan di dalam air.

Jika anda tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan di Pulau Aur, snorkeling di pantai dan bot adalah antara perkara wajib yang patut anda senaraikan. Ayuh bersnorkeling!

Posted in Uncategorized | 1 Comment

Khazanah Laut Dan Pantai Untuk Kesihatan (Siri 3)

Siri ketiga dan terakhir ini menerangkan kebaikan cahaya matahari dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan laut.

CAHAYA DAN PANAS MATAHARI

Aktiviti mandi dan bersantai di bawah panas matahari memberi banyak kebaikan kepada tubuh dan minda anda.

Langit membiru

Langit membiru

1. Pembekal setia vitamin D

Seperti yang diketahui manusia perlu meluangkan sekurang-kurangnya 30 minit di bawah sinar matahari setiap hari. Cahaya matahari merangsang pengeluaran vitamin D di dalam badan yang membantu mengurangkan risiko serangan jantung, osteoporosis, Alzheimer, dan kemurungan disamping meningkatkan sistem imun, mengurangkan jerawat dan memerangi Diabetes Jenis 2 (penghidap diabetes yang tidak bergantung pada insulin, lebih daripada 90% penghidap diabetes adalah penghidap jenis ini dan selalunya mereka adalah berumur dan memiliki berat badan berlebihan).

Vitamin D membantu mengurangkan risiko kanser! Penghasilan Vitamin D adalah rendah pada manusia, terutama pada mereka yang sentiasa berada di pejabat, berhawa dingin. Oleh itu ayuh kita ke pantai! Tetapi jangan terdedah terlalu lama terutama ketika terik tengahari untuk mengelakkan mendapat kanser kulit pula.

  1. Anti kemurungan

Ternyata panahan matahari membuatkan anda lebih bahagia. Mereka yang tidak meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari di bawah sinar matahari adalah 9 kali lebih berkemungkinan menghidap kemurungan. Abaikan iklan losyen yang menayangkan wanita berlari-lari menjauhi sinaran matahari, tetapi senyumlah menyambut sinarannya, terutama ketika anda berada di pantai.

  1. Mencantikkan kulit dan rambut

Sinaran matahari juga menjadikan anda kelihatan lebih menawan, maka jadikan manfaat ini sebagai faktor utama anda ke pantai. Cahaya matahari merangsang pengeluaran melanin dalam kulit yang mencantikkkan kulit, juga menyerikan rambut.

  1. Mengeluarkan peluh

Terdedah kepada matahari dan habanya juga menjadikan anda berpeluh yang bagus untuk meningkatkan tahap peredaran darah dan metabolisme anda. Berpeluh adalah sangat sihat. Ia membantu membuang toksin berlebihan dan menyejukkan badan. Rangsangan daripada berpeluh juga meningkatkan kadar denyutan jantung. Jadi, jangan takut untuk mengeluarkan peluh dan berjemur di pantai.

RUMPAI DAN MAKANAN LAUT

Rumpai laut merupakan salah satu agen kesihatan semulajadi yang paling berevolusi dan luar biasa sepanjang zaman. Kajian yang dijalankan oleh seorang ahli biokimia menerangkan manfaat rumpai laut adalah mengejutkan. Makanan laut seperti ikan, ketam, tiram dan udang karang yang lazat juga baik untuk otak dan jantung.

  1. Rumpai laut

Rumpai laut mengandungi anti-oksidan yang sehingga 100 kali lebih berkesan berbanding anti-oksidan tradisional yang terdapat pada Vitamin C dan E. “Super-anti-oksidan” ini pastinya mempunyai manfaat kesihatan yang menakjubkan. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan tambahan rumpai laut dalam masa enam minggu boleh:-

  • mengurangkan kolesterol LDL (buruk) dan meningkatkan kolesterol HDL (baik);
  • meningkatkan keanjalan dan keterbukaan arteri;
  • meningkatkan daya ingatan dan ketajaman mental; dan
  • meningkatkan peredaran darah dan membantu mendapatkan tidur yang lebih baik.
  1. Makanan laut

Makanan laut mengandungi Omega 3 yang tinggi. Omega 3 adalah sejenis asid lemak yang diperlukan tubuh untuk tubuh berfungsi secara optimum. Biasanya tubuh kita dihujani dengan asid lemak Omega 6 yang didapati daripada  produk yang dibungkus. Lebih 70% manusia kekurangan Omega 3 kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Beberapa makanan yang mengandungi Omega 3 selain daripada makanan laut adalah minyak nabati, sayuran hijau, kekacang dan avokado. Tetapi ikan dan minyak ikan membekalkan kandungan Omega 3 yang paling tinggi.

Ikan laut segar bakar

Ikan laut segar bakar

Omega 3 mengawal lemak trigliserida di dalam darah, juga mengurangkan pembekuan darah, keradangan, risiko penyakit jantung, risiko strok, dan sumber penting dalam pengeluaran tisu otak dan tisu mata. Kerana kepentingan ini Omega 3  sering ditambah ke dalam susu formula bayi.

Semoga kebaikan-kebaikan yang dinyatakan didalam Siri 1 hingga 3 ini lebih memesrakan diri anda dan keluarga dengan pulau, laut dan pantai. Adalah satu kerugian jika kita sebagai warga Malaysia dan Asia Tenggara yang tanahnya dikelilingi pulau-pulau yang indah, laut dan pantai yang cantik,  tetapi tidak menghargai khazanah berharga ini.

Posted in Uncategorized | 1 Comment

Khazanah Laut Dan Pantai Untuk Kesihatan (Siri 2)

Bersambung untuk siri kedua pada topik Khazanah Laut Dan Pantai Untuk Kesihatan yang akan menerangkan kebaikan pantai laut.

PASIRAN PANTAI

Rindukan aktiviti di pantai? Berjalan-jalan di tepi pantai, tanam badan, bina kubu, berkarya dengan pasir. Perkara yang sudah agak lama kita tinggalkan. Sambil beraktiviti secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan persaudaraan, juga dapat memanjakan diri dengan spa pantai.

Berikut adalah beberapa manfaat pantai kepada kesihatan kita:-

  1. Pelulur badan semulajadi

Butiran pasir adalah sumber bahan pengelupasan semulajadi. Selepas meninggalkan pantai, tapak kaki akan menjadi lebih licin dan lembut. Kesan lebih baik dapat dirasakan daripada butiran pasir yang lebih halus. Selain tapak kaki, pasir pantai boleh dimanfaatkan untuk menggosok kaki, tangan, leher dan lain-lain bahagian badan yang berdaki itu. Alternatif yang lebih baik daripada penggunaan “body scrub”yang terdapat  di pasaran.

  1. Meningkatkan kecergasan badan

Tentu anda perasan berjalan di pantai memerlukan usaha dan tenaga yang lebih berbanding ketika anda berjalan di tanah biasa. Ini disebabkan oleh permukaan berpasir yang tidak konsisten dan pergerakan pasir yang berubah-ubah di tapak kaki, terutama di gigi pantai. Sehingga 50% kalori tambahan dibakar ketika anda berjalan di atas pasir, juga menguatkan otot di badan terutamanya di bahagian kaki. Mereka yang gemar berlari di pantai sudah tentu mendapat lebih manfaat serta memiliki tubuh yang mantap.

  1. Tanam badan: Meningkatkan metabolisme tubuh

Anda mungkin fikir menanam badan di dalam pasir pantai hanya satu aktiviti yang menyeronokkan, tetapi ternyata ia baik untuk kesihatan. Menanam badan meningkatkan ketahanan badan, membaiki peredaran darah dan meningkatkan metabolisme anda. Badan akan lebih bekerja dengan kewujudan berat tambahan pasir di atasnya. Kesannya adalah sama seperti pemilik badan yang lebih besar, lebih banyak berat anda, semakin sukar bagi anda untuk melakukan apa-apa aktiviti. Dengan menanam badan di dalam pasir, jantung diberi gambaran bahawa anda terlebih berat, dan dengan itu meningkatkan kadar denyutan jantung serta kadar metabolisme. Terdapat mereka yang diserang angin ahmar pulih dengan menanam separuh badan di dalam pasir pantai dari semasa ke semasa.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Aur, Takrif dan Puisi

Aur, bermaksud buluh atau bambu menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat.

image

Aur bermaksud buluh atau bambu

Perkataan “Aur” banyak digunakan didalam peribahasa serta pantun-pantun melayu lama.

 

Beberapa buah pantun yang indah:-

Aur lentik dijinak kijang,
Anak Jawa minum di mangkuk;
Keningnya lentik dadanya bidang,
Anak muda dipanah mabuk.

Kusangka aur di tanah seberang,
Rupanya tebu tumbuh di busut;
Disangka jujur hati orang,
Rupanya muslihat mencapai maksud.

Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat berikat akar;
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar jangan bertukar.

Pasang api menambah pukat,
Aur perindu tidak berdahan;
Buah hati mari dekat,
Hatiku rindu tidak tertahan.

Singapura dilanggar todak,
Orang berkubu batang pisang;
Orang tua melawan budak,
Ibarat aur ditarik songsang.

 

Peribahasa melayu yang berseni:-

Aur ditanam betung tumbuh.
Takrif: Mendapat laba banyak dengan modal yang sedikit.

Bagai aur bergantung ke tebing, bagai tebing bergantung ke aur.
Takrif: Satu sama lain bertolong-tolongan.

Sebagai aur dengan tebing.
Takrif: Suami isteri yang sangat berkasih-kasihan; persahabatan yang sangat karib. (Peribahasa lain yang sama makna: Sepantun kasau dengan bubungan).

Bagai aur di atas bukit.
Takrif: Menyerahkan diri kepada nasib.

Seperti aur ditarik songsang.
Takrif: Pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah salah jalan.

Betung ditanam aur tumbuh.
Takrif: Mengharap untung, kiranya mendapat rugi.

Memagar diri bagai aur.
Takrif: Hanya memikirkan diri sendiri saja.

Hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing.
Takrif: Suami isteri yang berkasih-kasih; sahabat yang setia dan bertolong-tolongan.

Kasihkan pinang sebatang daripada aur serumpun.
Takrif: Lebih sayang kepada orang lain daripada kaum keluarga sendiri.

Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur.
Takrif: Masa kecillah diajar dan dididik, jangan ditunggu sampai sudah besar. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari). (Lihat juga: Melentur biarlah waktu rebung).

 

Betapa kayanya bahasa Melayu dengan pelbagai puisi, menggambarkan ketinggian peradaban tamadun alam Melayu, sehingga menjadi igauan indah serta rebutan penjajah Eropah.

 

Sumber: Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Khazanah Laut Dan Pantai Untuk Kesihatan (Siri 1)

Aktiviti rekreasi pantai serta laut adalah menyeronokkan, baik untuk golongan dewasa juga kanak-kanak. Kesan kulit terbakar akibat berjemur seharian adalah perkara yang biasanya disesali sesudah pulang daripada beraktiviti, dan anda tidak perlu risau dengan masalah “kecil” ini. Ini kerana ia tidak dapat mengatasi banyaknya kebaikan yang diperolehi daripada rekreasi tersebut.

Antara kebaikan daripada sudut kesihatan melalui aktiviti laut dan pantai adalah membantu merawat jerawat, melicinkan kulit, merawat kelemumur dan menguatkan otak. Pergi ke pantai adalah seperti pergi ke spa!!! Malahan terlalu banyak manfaat yang bakal anda perolehi.

Pulau Aur dikala senja

Pulau Aur dikala senja

AIR LAUT

Natrium klorida adalah garam yang paling bertanggungjawab untuk kemasinan air laut dan cecair untuk kebanyakan sel-sel organisma. Komposisi badan kita adalah kira-kira dua pertiga air dan satu-satunya mineral yang boleh dihadam oleh tubuh badan adalah garam. Sistem badan kita juga mempunyai unsur-unsur air laut.

Ayuh kita teliti apakah manfaat yang boleh diperolehi daripada air laut.

  1. Membersihkan kulit, merawat jerawat dan parut

Garam adalah bahan pengawet dan agen pembersih yang sangat baik yang telah digunakan untuk beribu-ribu tahun lamanya. Natrium klorida yang terkandung di dalam air laut dapat membantu membersihkan kulit dan efektif untuk jerawat sederhana. Ia juga merupakan rawatan mujarab untuk parut separa kekal. Ini berbeza daripada penggunaan bahan kimia yang terdapat di pasaran, yang boleh mengakibatkan kerosakan liang-liang kulit dan menyebabkan parut.

  1. Menyembuhkan sakit kulit

Kepada yang mengalami kegatalan kulit, luka dan kudis di badan, anda adalah disaran untuk pergi ke laut sebagai salah satu cara penyembuhan. Air bergaram menyahkan toksin asing, mengeringkan nanah pada luka serta cepat menyembuhkan masalah kulit tersebut. Itulah sebabnya kita sering disyorkan untuk berkumur dengan air garam. Menyentuh air garam buat pertama kali adalah agak memedihkan tetapi lama-kelamaan rasa pedih akan berkurangan.

  1. Membersihkan kulit kepala

Air masin merupakan syampu semula jadi yang efektif terutama kepada anda yang mengalami masalah kulit kepala berminyak. Ia membersih minyak dari kulit kepala, juga menghilangkan bahan kimia bagi mereka yang kerap bertukar-tukar produk penjagaan rambut. Bahkan air masin boleh menghilangkan kelemumur kerana ia bertindak sebagai ejen pengelupasan yang membuang sel-sel mati dari permukaan kulit kepala. Juga ia membantu pertumbuhan rambut baru!!!

  1. Melancarkan pernafasan

Air laut membantu melancarkan saluran hidung dan pernafasan terutama bagi mereka yang mengalami masalah hidung tersumbat. Ia mengeluarkan mukus berlebihan. Bagi anda yang tidak mengalami masalah ini, anda juga dapat merasakan perbezaan kelancaran pernafasan selepas mandi laut.

  1. Meningkatkan kecergasan

Berenang di laut membantu kita kekal cergas kerana otot-otot di bahu, lengan dan kaki digunakan untuk berenang. Ia mempercepatkan proses pembakaran kalori yang bagus untuk mengurangkan berat badan. Walaupun anda duduk bersantai di gigi air melawan ombak laut menghempas pantai, ia juga dapat menggerakkan otot serta memperbaiki keseimbangan badan.

Mari kita saling memperingatkan tentang firman Allah di dalam Surah Al-Jathiyah, ayat 12 mengaitkan perihal laut, rezeki dan syukur;

اللَّهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.

Posted in Uncategorized | 2 Comments

Aur Island Marine Park

Aur Island Marine Park is located approximately 67 kilometers or 39.7 nautical miles from the town of Mersing, Johor, is the most remote islands off Mersing. The island is one of a group of islands in the South China Sea is part of Sultan Iskandar Johor Marine Park.

This island is the main of the island where there are 3 small surrounding island of Dayang Island, Lang Island and Pinang Island. Dayang Island small channels separated by about 400 meters wide at its narrowest point.

image1

Pulau Aur location in the district of Mersing in Johor waters

Aur Island area of 2,072 hectares (eight square miles), rocky  forested, and its hills reaching heights of up to 500 meters. There are several villages on the island, such as Berhala (“idol”) Bay, Batu Kembar (twin stone), Bahai, Sebukang Bay, Meriam (“cannon”) Bay, Payang Bay, Tanjung Pandan, Bayu Musuh , Ba’ai Bay, Teluran, Palas, Tok Jong and Kabu Village.

Distance from Aur Island to the islands in the vicinity are: –

  • Tinggi Island – 25 nautical miles;
  • Pemanggil Island – nautical miles;
  • Sibu Island – 35 nautical miles;
  • Besar Island – 35 nautical miles; and
  • Tioman Island – 36 nautical miles.

This island is one of the islands around the islands in Mersing which was gazetted as Marine Park in 1994 under the Penubuhan Taman Laut Malaysia (“Establishment of Marine Park Malaysia”) and the Akta Perikanan (“Fisheries Act”) 1985 (Amendment 1993). Recognition as a marine park area is due to the uniqueness and diversity of marine resources and the presence of coral reefs around the island.

1499

Sebukang Bay

Sitting a fair distance from the Malaysia mainland, Aur Island offers the clearest water and is among the most interesting dive sites in the country. This island treasures unique and diverse marine including colorful fish and coral reefs. Among the fish species found here are barracuda, Manta Rays, whalesharks and Bumphead.

Most tourists do not know the rustic of this island even though it is already known among divers and deep sea anglers in Malaysia and in Singapore. Aur Island and surrounding islands have 18 popular dive sites. Between dives locations are Rayner Rocks, Lang Island, Pinnacle and Meriam Bay.

No ground vehicles on this island, no broadband lines, no high rise building except its school and Maxis tower. Crystal clear water, fresh air and the true beauty of Aur Island Marine Park waiting for tourists and nature lovers here.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Kenali Pulau Aur Di Perairan Johor Darul Takzim

Pulau Aur terletak kira-kira 67 km atau 39.7 batu nautika dari bandar Mersing, Johor, merupakan pulau yang paling jauh di perairan Mersing. Pulau yang merupakan salah satu daripada gugusan pulau di Laut China Selatan ini adalah sebahagian daripada Taman Laut Sultan Iskandar Johor.

Pulau ini merupakan ibu pulau dimana terdapat 3 buah anak-anak pulau yang berhampiran iaitu Pulau Dayang, Pulau Lang dan Pulau Pinang. Pulau Dayang dipisahkan oleh saluran kecil kira-kira 400 meter lebar pada titik yang paling sempit.

image1

Lokasi Pulau Aur di perairan Johor daerah Mersing

Pulau Aur berkeluasan 2,072 hektar (lapan batu persegi) serta bukit-bukitnya mencapai ketinggian sehingga 500 meter. Terdapat beberapa buah kampung di pulau ini seperti Kampung Teluk Berhala, Batu Kembar, Bahai, Teluk Sebukang, Teluk Meriam, Teluk Payang, Tanjung Pandan, Bayu Musuh, Teluk Ba’ai, Teluran, Palas, Tok Jong dan Kampung Kabu.

Jarak dari Pulau Aur ke pulau-pulau di sekitarnya adalah:-

  • Pulau Tinggi – 25 batu nautika;
  • Pulau Pemanggil – 12 batu nautika;
  • PulauSibu – 35 batu nautika;
  • Pulau Besar – 35 batu nautika; dan
  • Pulau Tioman – 36 batu nautika.

Pulau ini merupakan salah sebuah pulau di sekitar pulau-pulau di Mersing yang telah digazetkan sebagai kawasan Taman Laut pada tahun 1994 di bawah Penubuhan Taman Laut Malaysia dan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1993). Penganugerahan sebagai kawasan taman laut adalah kerana keunikan dan kepelbagaian sumber marin serta kehadiran terumbu karang yang menarik di sekitar pulau tersebut.

Pulau Aur

Pulau Lang dari pantai Teluk Berhala

Oleh kerana jaraknya paling jauh dari tanah besar Semenanjung Malaysia, Pulau Aur menawarkan air paling jelas dan merupakan diantara tempat menyelam yang paling menarik di negara ini. Pulau ini menyimpan khazanah laut yang unik dan pelbagai termasuk ikannya yang berwarna-warni serta terumbu karangnya yang menarik dan cantik. Antara spesies ikan yang terdapat di sini adalah ikan alu-alu (barakuda), Manta Rays, Whalesharks dan Bumphead.

Kebanyakan pelancong masih tidak mengenali keindahan pulau ini walaupun ia sudah terkenal di kalangan para penyelam dan pemancing laut dalam di Malaysia dan di negara Singapura. Pulau Aur dan pulau-pulau sekitarnya mempunyai 18 tempat menyelam yang terkenal. Antara lokasi selaman tersebut adalah Rayner Rocks, Pulau Lang, Pinnacle dan Teluk Meriam.

Tiada kenderaan darat di pulau ini termasuk basikal, tiada talian jalur lebar, tiada bangunan tinggi kecuali menara pemancar Maxis, dan tiada bunyi bising selain hempasan ombak, enjin bot dan kicauan burung. Air yang jernih, udara segar, serta suasana tenang dan permai Pulau Aur ini setia menanti kehadiran pelancong serta pencinta alam ke sini.

Posted in Uncategorized | 2 Comments